• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

MB Terengganu Beri Inspirasi Hari Pertama SPM & STPM

Dr Ahmad Samsuri (tengah) beramah mesra dengan calon SPM dan STPM 2018. Foto - Hishamuddin Abdullah
MARANG, 13 November - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turun padang hari ini bertemu dan memberi semangat kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) 2018.

Beliau mengharapkan supaya calon-calon SPM dan STPM di seluruh Malaysia dan Terengganu khususnya dapat menghadapi peperiksaan dengan hati yang tenang dan tenteram.

"Yakinlah anak-anak semua pada diri sendiri, jangan lemah semangat dan berdoalah kepada Allah SWT agar dapat menjawab soalan dengan sempurna dan tepat.

"Hari ini adalah permulaan untuk perjalanan yang masih panjang. Dengan jiwa muda yang ada, kamu mesti bersemangat untuk capai yang terbaik.

"Segala kerja kuat, tak tidur malam akan dibayar bermula hari ini. Kalau rasa 'blank', tarik nafas dan selawat supaya dikuatkan ingatan insya-Allah," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan calon-calon SPM dan STPM 2018 Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara, hari ini.

Dalam tumpuan sama, Dr Samsuri sempat memberi nasihat agar menjaga kesihatan, makan minum dan keselamatan masing-masing.

"Elakkan bermain di tempat berisiko dan berbahaya, lebih-lebih lagi pada waktu kritikal musim tengkujuh ini.


"Tidak lupa kepada guru-guru, saya hargai sokongan yang diberikan dengan pelbagai cara diusahakan demi kecemerlangan pelajar. Bahkan kepada ibu bapa yang banyak berkorban untuk kejayaan anak-anak.

"Insya-Allah, kita harapkan Terengganu akan kekal cemerlang," tambahnya.

Seramai 212 corang murid Tingkatan 5 SMK Tengku Lela Segara menduduki peperiksaan SPM bermula pada hari ini.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang percubaan SPM 2018 SMK Tengku Lela Segara.

Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 akan bermula hari ini hingga 13 Disember ini.

Seramai 19,624 calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Terengganu.

Berdasarkan angka itu, sejumlah 17,808 calon adalah pelajar dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Selain itu, 740 calon adalah dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), 58  calon sekolah menengah agama negeri, 126 calon swasta dan 892 calon persendirian.

Sehubungan itu, seramai 1,303 petugas peperiksaan ditempatkan di 168 pusat peperiksaan bagi membantu mengendalikan calon SPM.

Seramai 2,367 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga akan  mula menduduki peperiksaan esok di  44 pusat peperiksaan membabitkan 393 petugas peperiksaan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu, Haji Matsor Ismail, Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Mohd Adnan Salleh, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Roslan Ngah dan Pengetua, Mat Zulddin Jusoh.



Tag: