• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MB Terengganu Gembira Kejayaan CCL

Dr Ahmad Samsuri (tengah) mempengerusikan mesyuarat kali pertama CCL di UK.
UNITED KINGDOM, 5 November - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempengerusikan mesyuarat kali pertama Chicken Cottage Limited (CCL) di sini dan beliau merasa gembira dengan perkembangan positif perniagaan anak syarikat kerajaan negeri itu.

"Saya mempengerusikan mesyuarat pertama Lembaga Pengarah Chicken Cottage Limited (CCL) di United Kingdom (UK) semalam dan sangat gembira mendengar perkembangan positif CCL di UK dan penerimaan baik pelanggan di sini," katanya dalam status Facebook beliau.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Incorporated (Terengganu Inc.), Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak dan Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Inc, Dato' Raja Haji Idris Raja Kamaruddin.

Antara Ahli Lembaga Pengarah CCL bergambar bersama Dr Ahmad Samsuri (tiga dari kanan) di UK.

Difahamkan, Chicken Cottage ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai syarikat perkongsian dan diperbadankan pada Februari tahun 2001.

Restoran Chicken Cottage yang pertama dibuka pada tahun 1994 di Wembley, London.

Pada Februari 2014, TI Global Food Holdings Bhd, Terengganu Inc, yang merupakan cabang pelaburan utama Negeri Terengganu, memperoleh 70 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

Baki 30 peratus pada masa itu dimiliki oleh Ri-Yaz Global Food Brands Inc, anak syarikat Ri-Yaz Holdings, yang fokus utamanya adalah hospitaliti, perniagaan dan pembangunan francais.


Antara menu popular Chicken Cottage dijual di UK.
Cawangan pertama Malaysia dibuka di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu pada Disember 2015 dan terdapat rancangan untuk mempunyai 50 cawangan lagi, termasuk 15 di Terengganu.

Restoran lain ditubuhkan di peringkat antarabangsa termasuk di Jerman, Syria, Dubai (UAE), Doha (Qatar), Iraq, Algeria, Pakistan, Perancis, Slovakia, Afrika Selatan, Libya, Sweden dan Itali.

Tag: