• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

MB Terengganu Kekal Naib Presiden PAS

SHAH ALAM, 22 Oktober – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diumumkan secara rasmi menang tanpa bertanding (MTB) bagi jawatan Naib Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS) bagi penggal 2023-2025.

Turut mengisi barisan Naib Presiden PAS iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Kesemua mereka dikekalkan bagi jawatan berkenaan pada Majlis Pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 bertempat di IDCC Ideal Convention Centre Shah Alam di sini hari ini.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dato' Dr Abdul Halim Tamuri di sini pada Ahad.

Sementara itu, empat pimpinan dari Terengganu yang terdiri daripada seorang Ahli Parlimen, dua orang exco dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai Ahli Jawatan kerja PAS Pusat.

Kesemua mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim dan ADUN Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor.

 


Tag: