• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

MB Terengganu Komited Pacu Pentadbiran Lebih Ke Hadapan

KUALA TERENGGANU, 27 November - Persidangan Dewan Undangan Negerin(DUN) Terengganu pada kali ini sangat penting kerana ia melibatkan masa hadapan negeri selaras komitmen Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam memacu pentadbiran negeri lebih ke hadapan.

Yang Dipertua DUN, Dato'Mohd Nor Hamzah meyakini, ia merupakan belanjawan yang terbaik dan konklusif  serta berharap 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berperanan serta bertanggungjawab meneliti setiap butiran bajet tersebut.

"Sudah semestinya, tumpuan akan diberikan kepada aspek pembangunan dan kemampanan ekonomi negeri dapat tercapai.

"Kelestarian pembangunan ekonomi sudah semestinya akan bergerak seiring dengan limpahan kemakmurannya yang akan dapat dinikmati oleh rakyat secara keseluruhannya.

"Secara tidak langsung, rakyat boleh menilai bahawa waima apa jua perancangan dan belanjawan yang dibentangkan, kebajikan dan kemakmuran rakyat tetap dijadikan fokus keutamaan oleh kerajaan negeri," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan di Persidangan DUN Terengganu (Belanjawan 2024) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Nor turut berkongsi perkembangan dan perjalanan DUN Terengganu melalui Jawatankuasa Tetap yang baru dilantik pada persidangan lepas selepas mesyuarat kali pertama diadakan, baru-baru ini.

"Jawatankuasa Pengurusan Dewan, Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) telah selesai menjalankan mesyuarat kali pertama, masing-masing pada awal Oktober yang lalu.

"Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua Yang Berhomat Ahli Jawatankuasa berkenaan atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan dalam jawatankuasa masing-masing, semoga akan memberi tambah nilai yang lebih inklusif kepada perjalanan persidangan DUN ini.

"Kita juga terbuka untuk menerima sebarang cadangan dan idea yang segar dalam membantu perjalanan dan perkembangan DUN kita ini agar misi untuk 'Memacu Pembedayaan Badan Legistatif Yang Efektif, Inklusif dan Progresif' dapat tercapai ke arah menjadikan DUN Terengganu sebagai badan legistatif terunggul," ujarnya.