• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

MB Terengganu Runding Semula Projek Jalan Hulu Besut-Kuala Krai

BESUT, 10 Jun- Kerajaan negeri akan berunding dengan kerajaan Persekutuan berkaitan pelaksanaan semula projek pembinaan jalan raya menghubungkan Keruak, Hulu Besut ke Lata Rek, Kuala Krai yang sebelum ini dibatalkan.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek jalan sejauh 12 kilometer itu telah berada pada proses mengeluarkan tender sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, namun dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas itu.

"Saya memberi jaminan kepada penduduk di Hulu Besut untuk berunding dengan kerajaan Persekutuan iaitu kementerian yang berkaitan bagi membolehkan projek ini dilaksanakan.

"Saya rasa perkara ini boleh dipercepatkan kerana seperti saya katakan tadi, kerajaan pusat sebenarnya sudah dalam proses hendak tender projek ini.

"Untuk makluman, bagi projek-projek yang besar seperti ini, apa yang sering bermasalah adalah kerja-kerja teknikal seperti laporan yang perlu disiapkan sebelum dokumen tender keluar, apabila maklumat teknikal sudah ada, tinggal tender sahaja dan itu lebih cepat sebenarnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Kekal Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Pasir Akar, semalam.

Beliau turut memohon rakyat negeri itu mendoakan semoga projek tersebut menjadi kenyataan.

"Saya rasa ia tidak sesukar mana, cuma ihsan daripada kerajaan pusat supaya kalau tidak dimasukkan dalam Rolling Plan, mungkin boleh dijadikan satu projek khas di peringkat kerajaan pusat," katanya.


Tag: