• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

MB Terengganu Setuju Tangguh PRU-15

MARANG, 7 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersetuju dengan saranan mantan Perdana Menteri ketujuh, Tun Mahathir Mohamad supaya pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) ditangguhkan sehingga akhir penggal pemerintahan  kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya setuju seratus-peratus," jawabnya ketika disoal pemberita dalam sidang media di Dewan Perpustakaan Marang, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu bagaimanapun tidak mengulas panjang kenyataannya dan beredar sejurus selepas itu.

Dr. Samsuri hadir ke lokasi berkenaan bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet di DUN Rhu Rendang yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun.

Dalam majlis tersebut, kira-kira 50 pelajar menerima bantuan tablet berserta kad sim dengan subsidi nilai langganan sebulan bagi pelan Redone.

Terdahulu, Tun M melalui kenyataannya di Utusan Malaysia mencadangkan supaya PRU-15 diadakan pada tahun 2023 iaitu apabila tamat penggal Parlimen.

Jelasnya, pertimbangan serius perlu diberikan mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang semakin meningkat dan bakal mengakibatkan penularan lebih dahsyat jika sebarang bentuk pilihan raya diadakan.

 

 


Tag: