MBKT Lakukan Penebatan Semula Kabel Rosak Di Dataran Drawbridge

KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melakukan kerja pembaikan segera termasuk penebatan semula kabel menggunakan kaedah 'heat shrink insulation' bagi mengelakkan kejadian renjatan elektrik di kawasan Dataran Drawbridge berdekatan lokasi jualan food truck.

Datuk Bandar MBKT, Datuk Jusman Ibrahim berkata, ia susulan kejadian seorang kanak-kanak lelaki melecur akibat terkena renjatan elektrik selepas menyentuh tiang lampu berhampiran dataran Drawbridge, di sini, Rabu lalu.

Menurutnya, pihak MBKT menerima aduan berhubung insiden itu melalui sistem e-aduan MBKT kira-kira pukul 11.18 malam, pada hari kejadian. 

"Susulan daripada aduan tersebut, Bahagian Elektrikal MBKT telah turun ke lokasi kejadian pada pagi 5 Jun bagi menjalankan siasatan segera.

"Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan oleh kabel elektrik yang mengalami kerosakan," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pemeriksaan menyeluruh di kawasan sekitar akan diteruskan secara berperingkat bagi mengenal pasti dan membaiki mana-mana kabel yang dikenal pasti berisiko.

Jusman berkata, MBKT mengambil serius isu ini dan ingin menegaskan bahawa sebarang perbuatan vandalisme adalah satu kesalahan jenayah yang bukan sahaja merosakkan kemudahan awam, malah mengancam nyawa orang ramai. 

"MBKT juga memandang serius setiap aduan yang melibatkan keselamatan awam dan akan terus memastikan kawasan- kawasan awam berada dalam keadaan yang selamat dan mesra kepada orang awam," ujarnya 


Tag: