• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

MBKT Rangka Strategi 'Pulihkan' Stesen Bas Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) telah merangka beberapa strategi bagi memulihkan semula Hentian Bas Kuala Terengganu yang kini tidak semeriah dahulu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, pihaknya sedar peredaran zaman memberi kesan terutama apabila orang ramai semakin kurang menggunakan pengangkutan bas.

Katanya, keadaan itu sedikit sebanyak menyulitkan para peniaga di hentian terbabit berikutan kekurangan pembeli.

"Dahulu ramai orang gunakan bas, sehingga mendapat permintaan tinggi, jadi apabila ramai yang tidak menggunakanya jadi tidak ada lagi 'demand'.

"Mengenai peniaga kita ada bincang di peringkat ahli majlis untuk bawa mereka ke Pasar Payang baharu, tetapi kapasiti yang ada tidak cukup untuk menempatkan keseluruhan peniaga jadi kita terpaksa 're-treat' balik serta cari strategi lain bagaimana untuk meningkatkan perniagaan mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kepada Petugas Kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Camelia Ballroom, Paya Bunga Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak serta timbalannya Ahmad Shah Muhamed.

Kata Rosli, beberapa masalah yang dibangkitkan di hentian berkenaan telah turut diberi perhatian seperti atap bocor, kerajaan negeri telah mengeluarkan peruntukan segera bagi membaikinya.

Mengenai tandas pula katanya, ia akan dianiktaraf, sebelum ini dikatakan kotor kerana syarikat yang dilantik menguruskan tandas tidak mengambil kira keadaan apabila musim perayaan.

"Sepatutnya mereka lebih sensitif perlu ambil kira keadaan yang berubah ketika musim perayaan," katanya.

Dalam pada itu beliau menegaskan saman yang dikenakan pada kenderaan yang diletakkan di haluan yang salah adalah tindakan tepat tanpa kira waktu siang atau malam.

"Ini bagi memastikan keadaan di hentian berkenaan terkawal dan selamat.

"Diletakkan di tempat yang salah menyusahkan orang lain, apabila ditularkan adakah kita hendak menjaga nama satu orang sahaja sedangkan kita bekerja untuk pastikan bandar bersih dan selamat.

"Jam satu, dua pagi kita telah ada petugas kerana matlamat kita bukan untuk berniaga dengan mengenakan saman sebaliknya hendak memastikan kesejahteraan bandar terjaga," ujarnya.