• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

MBKT Seru Masyarakat Julang Budaya Bersih Sempena Ramadan

KUALA TERENGGANU, 3 April- Orang ramai yang berkunjung ke bazar Ramadan dan mereka yang mengambil peluang berbuka puasa di taman-taman awam Kuala Terengganu dinasihatkan agar tidak membuang atau meninggalkan sampah sehingga mencemari keindahan bandaraya tersebut.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rozali Salleh berkata, rakyat negeri itu sepatutnya mencontohi sikap masyarakat di Asia Timur seperti Jepun dan Korea yang mempunyai kesedaran yang tinggi dalam mengangkat budaya menjaga kebersihan sebagai amalan.

"Mereka tidak akan buang sampah merata-rata walaupun tiada tong sampah sekalipun, itu yang perlu menjadi contoh kita dalam menerapkan amalan baik ini untuk memastikan bandar kita ini terus dipandang indah oleh pelancong lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.

"Tiada masalah untuk berbuka puasa di dataran Shahbandar, Batu Buruk dan mana-mana kawasan serta taman rekreasi di Kuala Terengganu ini, cuma nasihat saya tolong jaga kebersihan dan jangan tinggalkan segala sisa makanan sehingga bersepah, saya cadangkan bawa beg plastik khas untuk sampah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu hadir pada Program Aspirasi Keluarga Malaysia TerengganuFm Sempena Hari RTM Ke-76, di Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu, Bukit Pak Apil, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, untuk menerapkan nilai budaya menjaga kebersihan itu bukan perkara mudah.

"Memang sukar, semalam saya dengar ucapan Menteri Kanan Pendidikan menyebut bahawa amalan menjaga kebersihan ini suatu perkara yang sering diterapkan oleh Kementerian Pendidikan hampir 38 tahun namun masih gagal.

"Bersama-sama kita berusaha untuk memastikan masalah seumpama ini tidak berlaku lagi, saya juga ingin berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini telah terlibat secara langsung dalam usaha untuk mengekalkan kebersihan bandar ini.

"Dimana mereka sering memberikan kerjasama pada setiap masa tanpa meminta pertolongan sepertimana 'Geng Plastik Ija' (GPI) cuma mereka minta kita sediakan lori, tong dan juga beg plastik,"ujarnya.

Bagi penyelesaiaan masalasah sampah di Drawbridge pula katanya, di samping menasihati rakyat menerapkan budaya bertanggungjawab tersebut pihaknya juga akan menambahkan bilangan tong sampah.

 


Tag: