• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MCP Sasar GRP Diguna Pakai Seluruh Malaysia Sebelum RMK11

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dato’ Abdul Latif Abu Seman berkata sesuatu pada sidang media Majlis Perasmian Seminar Amalan Baik Peraturan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Zulkifli C.W. Putra

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyasarkan pelaksanaan inisiatif Amalan Baik Peraturan (GRP) diguna pakai di seluruh negara sebelum berakhirnya pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11.

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dato’ Abdul Latif Abu Seman berkata, GRP diperkenalkan sejak 2016 di peringkat Persekutuan sebelum diperluaskan di seluruh negeri secara berperingkat-peringkat.

Katanya, inisiatif tersebut telah diperkenalkan di tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tahun lalu sebelum diperluaskan ke Sarawak, Perak dan Pahang tahun ini.

“GRP diperkenalkan untuk memastikan setiap peraturan baharu diwujudkan atau semakan kepada peraturan yang sedia ada dapat dilaksanakan dengan lebih teliti, tepat dan komprehensif.

“Peraturan yang baik bukan sahaja membantu pertumbuhan ekonomi, inovasi, daya saing, produktiviti dan mewujudkan peluang pekerjaan malah berperanan penting dalam melindungi kesihatan awam, kebajikan, keselamatan dan alam sekitar,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada pemberita pada Majlis Perasmian Seminar Amalan Baik Peraturan Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Zulkifli Ali dan Setiausaha Bahagian (Kerajaan Tempatan), Jusman Ibrahim.

Kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada pegawai tadbir di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta Pihak Berkuasa Tempatan hadir ke seminar tersebut.

Abdul Latif berkata, Terengganu merupakan antara negeri terawal yang menerima pakai inisiatif ini dan bersetuju melaksanakannya menerusi Dasar Pembangunan dan Perlaksanaan Peraturan Negeri Terengganu.

Dalam pada itu katanya, MPC akan terus mengkaji peraturan-peraturan sedia ada bagi memansuhkan peraturan yang tidak lagi relevan, selain memudahkannya untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan beban peraturan.

"Bagi tujuan tersebut, kita telah lakukan pelbagai inisiatif untuk memperbaiki dan meminda peraturan di Malaysia dengan memastikan GRP untuk meningkatkan kualiti peraturan baharu dan sedia ada," ujarnya.

Tag: