• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Md Zain Terima Anugerah Tokoh Guru Negeri

KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Berpegang kepada kata-kata, lihat biar berupa, buat baru menjadi, kejar kualiti, inshaAllah akan datangnya  populariti, melayakkan  bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar, Dungun, Md Zain Muda menerima pelbagai anugerah sepanjang 30 tahun perkhidmatannya  sebagai guru.

Terbaru, anugerah Tokoh Guru Negeri  yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Majlis Sambutan Hari Guru yang disiarkan secara dalam talian di Wisma Darul Iman, di sini pagi ini.

Md Zain berkata, anugerah yang diperoleh hari ini dan sebelum ini  datangnya daripada pertolongan Allah S.W.T dan juga rakan seperjuangan serta pelajar. Apa yang dilakukan mesti berniat baik terhadap Maha Esa selain memikul tanggungjawab sebagai amanah yang perlu diselesaikan

Katanya, sekiranya semua itu ada dalam diri, pastinya tugasan akan menjadi mudah termasuk membentuk sahsiah, peribadi dan displin pelajar.

“Sepanjang bertugas kebanyakan sekolah yang dipertanggungjawab adalah sekolah yang bermasalah dan mempunyai displin yang sangat teruk. 

“Selepas mengadakan pelbagai program dan ubah displin guru dan  mendekatkan diri pelajar kepada Allah. Semuanya berubah sehingga pernah menerima anugerah displin terbaik peringkat negeri ketika berkhidmat di SMK Bukit Besi,” katanya yang berasal dari Kampung Alor Tempoyak. Dungun.

Beliau menamatkan perkhidmatannya sebagai guru pada Mei 2014 berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman  selepas program itu.

Dengan anugerah itu, Md Zain layak menerima wang tunai RM6,000 sumbangan Exxonmobile (RM5,000) dan Bank Islam (RM1,000).

Turut menerima anugerah,  Ngah Bidin kategori  Tokoh Kepimpinan Pendidikan,  layak membawa pulang wang tunai RM5,000 serta lapan lagi penerima bagi Tokoh Guru Daerah masing-masing menerima hadiah RM2,000.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, sambutan Hari Guru  2020 cukup berbeza kerana tanpa diraikan bersama pelajar dan rakan seperjuangan.

Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri tetap menghargai jasa-jasa guru  walaupun sambutan kali ini hanya secara dalam talian bukan di dalam dewan yang besar seperti sebelum ini.

“Saya percaya, guru dan pelajar pastinya ketika ini merindui suasana riuh rendah dalam bilik darjah, pelajar mahu mendengar suara guru secara berdepan dan guru pula mahu melhat keceriaan pelajar.

“Apapun, saya berharap, semuanya bersabar dengan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan kerajaan, harap akan kembali dan pulih seperti sedia kala agar pelajar dan guru dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti biasa,”katanya.


Tag: