• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

MDM Sedia Ruang Khas Untuk Perniaga Buah-Buahan Bermusim

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 22 Jun – Usaha Majlis Daerah Marang (MDM) menempatkan lebih 10 peniaga buah-buahan berniaga di satu kawasan berbumbung bukan sahaja mendatangkan keselesaan malah memudahkan pelanggan untuk membuat pilihan.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria berkata, langkah sama bersesuaian dengan keadaan sekarang di mana berniaga perlu mengikut mematuhi prosedur operasi standard (SOP), peniaga dan pelanggan tidak boleh bersesak antara satu sama lain.

Katanya, satu ruang baru telah disediakan kepada peniaga di kaki lima dan peniaga buah-buahan bermusim sebagai membantu para peniaga dan pengunjung sesuai dengan gaya norma baharu yang diamalkan.

“Satu gerai sementara telah disediakan bagi memudahkan peniaga buah-buahan bermusim di perkarangan Hentian Bas Marang.

“Manakala bagi peniaga di kaki lima Pasar Marang, mereka hendaklah berniaga di tempat yang telah disediakan iaitu satu ruang niaga baru di kawasan luar kaki lima yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Majlis Daerah Marang (MDM).

“Ini adalah bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku disebabkan laluan utama pengunjung pasar dihalang oleh bahan jualan dikaki lima,” katanya
Beliau berkata ketika dihubungi oleh Wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman, semalam.

Menurutnya lagi, semua peniaga juga dinasihatkan supaya menjaga keselamatan, disiplin mandiri, tidak berkumpul, patuh SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan dikompaun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.