KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Program Briswalk Merdeka 2025 bukan sekadar aktiviti santai, sebaliknya menjadi wadah penting untuk menyemai semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Harun Esa berkata, inisiatif ini memberi makna besar kerana ia mengingatkan kembali masyarakat tentang pengorbanan pejuang terdahulu yang berjuang mempertahankan tanah air.
“Program ini bukan sekadar berjalan bersama, tetapi menjadi ruang untuk kita menyatakan betapa sayangnya kita kepada negara dan negeri.
“Sebagai rakyat Terengganu, kita bertuah mewarisi sejarah perjuangan wira-wira negeri ini – daripada keberanian Haji Abdul Rahman Limbong hinggalah pengorbanan para pejuang yang menentang penjajah, sehingga membolehkan Terengganu turut menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang.
“Warisan inilah yang kita bawa melalui program ini warisan semangat juang, kekuatan ukhuwah serta rasa tanggungjawab untuk terus memajukan negeri dan tanah air tercinta.
Warisan perjuangan inilah yang perlu terus dihidupkan dalam jiwa generasi baharu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Briswalk Jiwa Merdeka 2025 Langkah Patriotik, Jiwa Merdeka di Dataran Batu Buruk, pada hari ini.
Menurut beliau, Briswalk Merdeka 2025 juga berperanan menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal yang mudah dan sesuai untuk semua peringkat umur, selain memperkukuh ukhuwah antara jabatan, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Katanya lagi, penyertaan masyarakat dalam program ini melambangkan kesatuan dan semangat merdeka yang terus subur dalam diri rakyat.
“Kita percaya setiap langkah yang diatur pagi ini adalah lambang kesatuan dan semangat merdeka. Semoga ia menjadi titik permulaan kepada gaya hidup sihat dan jiwa patriotik yang akan terus berkembang dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, rakyat Terengganu bertuah kerana mewarisi sejarah perjuangan wira terdahulu yang menjadi asas kepada kejayaan negeri dalam pelbagai bidang, dan warisan itu perlu diperkukuhkan demi meneruskan agenda Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.