• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Menteri Besar Terengganu Calon Parlimen Kemaman

KEMAMAN, 16 November - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah diumumkan sebagai calon PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Nama calon parlimen itu telah diumumkan Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, di sini, malam ini.

Pengumuman calon tersebut juga telah menamatkan teka-teki calon PAS bagi kerusi parlimen terbabit.

Sebelum ini, beberapa nama besar diramalkan menjadi calon PAS termasuk Tan Sri Annuar Musa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember  ini manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September, yang membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15.

Pada PRU15, calon BN Datuk Seri Ahmad Said tewas kepada Che Alias dengan majoriti 27,179 undi sekali gus menyaksikan Pas mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.


Tag: