• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Mesin 'Asher' Selesai Isu Sisa Pepejal di Pulau Redang

KUALA TERENGGANU, 27 November - Satu unit mesin asher  ditempatkan di Pulau Redang bagi menyelesaikan masalah sistem pengurusan sisa domestik dan pepejal yang telah membelenggu pulau peranginan itu sejak sekian lama.

Pengerusi Jawatankuasa kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemasangan pengoperasian dan penyelenggaran mesin berkenaan dilaksanakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Ujarnya, mesin berkenaan membantu mengurangkan kapasiti sisa pepejal yang dikumpulkan di pulau tersebut kemudian dibawa balik ke daratan melalui kaedah sedia ada menggunakan pengangkutan kapal ataupun bot.

"Selain itu, antara inisiatif yang dilakukan adalah pembinaan pusat pengurusan sisa pepejal bersepadu di Pulau Redang yang menempatkan mesin kompos ataupun kitar semula.

"Mengagihkan tong sampah awam serta aktiviti pembina keupayaan bersama dengan komuniti setempat bersama pengusaha-pengusaha resort dan chalet seperti pelaksanaan program gotong royong, ceramah serta juga penerangan berkaitan dengan pengasingan sisa pepejal, demontrasi teknik dan sebagainya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Ridhuan Mohd Nor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, projek 'Integrated Island The Waste Management' (IIWM) turut dilaksanakan di pulau utama.

"Seperti Pulau Redang, Pulau Lang Tengah, Pulau Perhentian Kecil, Pulau Perhentian dan juga Pulau Kapas dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Daerah Besut dan juga Majlis Daerah Marang," katanya.

Tambahnya, di antara usaha yang dijalankan kerajaan bagi menangani masalah sisa pepejal dengan membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui pembiayaan peruntukan bagi tujuan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di pulau-pulau pelancongan utama.