• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

KUALA NERUS, 12 Januari - “Tiada kata mampu menggambarkan perasaan saya ketika ini melainkan rasa lega dan bersyukur kerana masalah hakisan yang menghantui kami telah selesai,” kata seorang penduduk Kampung Tanjung Bunut, Jantan Ismail, 59, setelah isu itu diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Dia yang lebih mesra disapa sebagai Pak Zaid berkata, sebelum ini ketika musim tengkujuh tidur mereka tidak lena apabila memikirkan risiko hakisan tebing Sungai Nerus yang telah membelenggunya sejak 10 tahun dan semakin menghampiri kawasan kediaman.

Keadaan tebing sungai yang runtuh kerana hakisan.

"Kini saya boleh menarik nafas lega kerana tebing berdekatan rumah telah diperkuatkan semula menggunakan 'armour rock' bagi menahan kesan alam," katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan proses mengukuhkan curam tersebut mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan oleh Pejabat Daerah Kuala Terengganu.

Ustaz Ridzuan Hashim mencadangkan laluan masuk lori untuk ditambak batu kepada Pok Zaid.

“Alhamdulillah, proses penambahbaikan segera telah berjalan lancar serta tiada insiden yang tidak diingini berlaku, ia disebabkan oleh faktor kawasan yang mudah di akses menyebabkan ia dapat disiapkan dengan cepat.

“Saya berharap agar Pak Zaid akan dapat menjalani kehidupan yang normal selepas ini,” ulas beliau ketika meninjau kawasan tambakan di belakang rumah Pak Zaid di Kampung Tanjung Bunut.