• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MN Belum Berkubur, Politik Baru Perlu Ditekuni

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober- Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan Naib Presiden PAS menyifatkan, usaha menyatukan parti-parti terbesar Melayu belum berakhir.

"Kalau dihayati kuliah dan penjelasan Tuan Guru (Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang) semalam, kita boleh faham bahawa Muafakat Nasional (MN) bukan berkubur.

"Tetapi, kita ambil nafas yang agak panjang sedikit atas sebab-sebab tertentu dalam MN, bukan bermakna ia terus berkubur dan diletakkan nisan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), hari ini.

Jelasnya, perkara tersebut (kerjasama) boleh sahaja berlaku pada pasca Pilihan Raya Umum (PRU) melihat kepada suasana politik semasa.

"Suasana yang ada hari ini termasuk kedudukan Pakatan Harapan (PH) tidak sama seperti dahulu, mereka tidak sekuat sebagaimana dahulu.

"Dahulu, turut bersama mereka adalah kepimpinan negara kita, kali ini mereka tidak mempunyai kepimpinan Melayu yang kuat, jadi jauh berbeza.

"Ada kategori tertentu dan pelbagai segmen yang akan dinilai, itulah suasana baru dalam demokrasi kita yang perlu kita tekuni.

"Kedudukan pengundi bandar, semi-bandar dan luar bandar juga tidak sama tentang bagaimana mereka melihat calon," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan, pembahagian calon antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) akan dibincangkan dalam masa terdekat.

"Sudah ada tarikh, insya-Allah tengah minggu depan sudah ada dan kita akan perhalusi.

"Kita percaya PAS melalui pilihanraya bersama PN bukan untuk menjadi pembangkang kita ingin menjalankan tanggungjawab memerintah secara bersama kerajaan pasca pru-15.

"Tentunya calon yang ingin diketengahkan harus merangkumi pelbagai kriteria untuk menjadi ketua kepada masyarakat, ciri-ciri tertentu, berkepimpinan dan paling penting berintegriti, memilik pengetahuan dan mempunyai hubungan baik dengan masyarakat.

"Selain itu, lihat kesesuaian tempat yang mana untuk ditonjolkan dan kita akan timbang secara menyeluruh," katanya.

 

 

 


Tag: