• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

'Mobile Team' Aktif Bantu Golongan Miskin

Antara golongan sasar yang menerima bantuan daripada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi.


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 1 Ogos - 'Mobile Team' terus bergiat aktif turun ke setiap lapangan masyarakat bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Penolong Pegawai Perangkaan Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu, Syuriati Abdullah berkata, kumpulan yang melibatkan beberapa agensi dan jabatan itu telah meletakkan beberapa kriteria tertentu agar setiap bantuan sampai kepada golongan sasar.

"Melalui lawatan inilah maka kita akan tentukan jabatan dan agensi mana yang boleh menghulurkan bantuan.

"Mereka yang diziarahi ini adalah pemohon E-Kasih, bantuan yang diberikan dalam bentuk baik pulih rumah, menambah modal perniagaan, bantuan kepada anak-anak, bantuan pendidikan dan sebagainya yang menjurus kepada kesesuaian mengikut jabatan dan agensi yang turun ke lapangan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau penduduk yang menjadi sasaran 'Mobile Team' di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, di sini semalam.
Rumah Mazlan Razab (dua dari kanan).

Hadir sama, Pegawai-Pegawai daripada Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu, Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi berkata, usaha dan tindakan yang dilakukan itu mampu memberi sinar baharu kepada keluarga-keluarga terpilih.

"Antara rumah yang dilawati yang berada dalam perhatian kita ialah Mazlan Razab yang tinggal jauh dan terpinggir di dalam dusun durian.

"Di mana sehingga sekarang masih lagi tidak mendapat bekalan asas seperti elektrik dan air, hidup dalam keadaan seperti komando bersama isterinya," ujarnya.



Tag: