• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Mohd Soud Mulakan Tugas Pengarah UPDI


Oleh : Abu Ubaidah Mohd Noor

Bekas Timbalan Pengarah Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI), Ustaz Mohd Soud Said@Mat Ali, 47, dilantik sebagai Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) (sebelum ini Unit Komunikasi Negeri Terengganu) berkuatkuasa hari ini.

Beliau yang juga bekas guru di Maahad Darul Quran, Rusila turut aktif dalam kegiatan kemasyarakatan termasuk dilantik sebagai Pengerusi Batu Buruk Care dan Ahli Jawatankuasa Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu,

Berasal dari Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, Mohd Soud yang berpendidikan agama dari Maahad Darul Quran, Rusila juga pemilik Ijazah Pertama Usuluddin Jabatan Tafsir dari Universiti Al-Azhar, Mesir (1996).

Dalam pada itu, beliau amat berterima kasih kepada pentadbiran negeri yang memberi kepercayaan untuk beliau menerajui UPDI serta bersedia memikulnya selaras dengan kehendak pucuk pimpinan.

Pemegang Sarjana (Sejarah & Tamadun Islam) dari Universiti Malaya (2000) itu juga mahu memastikan UPDI selaku komponen penting di bawah Pejabat Menteri Besar dapat membantu menterjemahkan hasrat pentadbiran negeri menerusi slogan 'Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera' supaya mampu difahami serta dihayati oleh rakyat sedalam-dalamnya.

"Saya dan semua pegawai di UPDI berhasrat untuk memperkasakan dan menambah nilai setiap inisiatif serta agenda pembangunan kerajaan menerusi medium komunikasi seperti media cetak, elektronik selain media sosial masa kini supaya 'Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera’ dapat diterjemahkan,"katanya lagi.

Menurutnya lagi, UPDI bermatlamat menjadi sebuah agensi kerajaan yang benar-benar berkesan dalam menyebarkan maklumat dan penghubung antara kerajaan dengan rakyat selaras slogan yang diuar-uarkan itu.

Tag: