• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Mohd Syahir Dilantik Setiausaha Politik Presiden PAS

Mohd Syahir (kanan) bersama Dr. Ahmad Samsuri
Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Syahir Che Sulaiman dilantik sebagai Setiausaha Politik Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang baharu.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang kini dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu.

Perkara ini disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung pada 8 Julai lalu, di Kuala Terengganu.

Dr. Ahmad Samsuri melalui laman Facebooknya semalam, merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan itu.

"Perlantikan ini amat tepat, berdasarkan kelayakan dan kebolehan beliau yang  amat membanggakan.

"Saya ingin mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua, sekiranya sepanjang menggalas amanah sebagai Setiausaha Politik Presiden sejak 2008, terdapat  kelemahan dan kekurangan.

"Pengalaman saya sebagai Setiausaha Politik Presiden,  merupakan suatu pengalaman yang tidak ternilai harganya.

"Kepada Saudara Syahir, selamat menunaikan tanggungjawab sebaiknya demi bangsa, agama dan negara," ulas beliau lagi.

Mohd Syahir merupakan lulusan Sarjana Pengajian Pembangunan (Master of  Development Studies) Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau kini memegang jawatan Penolong Naib Presiden (AVP), Development Strategy di sebuah syarikat korporat terbesar negara.


Tag: