Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
Moreh Selepek Sahur Perkenal Warisan Terengganu Kepada Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Program 'Moreh Selepek Sahur' yang berlangsung di Payang Walk bukan sekadar moreh biasa, malah turut menjadi platform untuk memperkenalkan seni, budaya serta warisan tradisional Terengganu kepada pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan promosi produk pelancongan berasaskan warisan tempatan.
“Moreh Selepek Sahur bukan sekadar jamuan makanan, tetapi membawa elemen pendidikan dan pengalaman kepada pengunjung.
“Mereka bukan sahaja dapat menikmati juadah tradisional seperti kuih akok, sagupal, puding raja dan loklik, malah berpeluang melihat demonstrasi seni kraf seperti batik, kaligrafi dan pemakaian tanjak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika merasmikan Program Voluntourism & Volunsharing bertempat di Payang Walk, Taman Shah Bandar, Kuala Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Terengganu, Mazshidal Roslal, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ridzwan Abdul Rahman dan Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.
Program tersebut kerjasama antara MOTAC bersama Payang Walk dengan dihadiri oleh pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang turut mengagihkan juadah berbuka kepada orang ramai di sekitar Pesisir Payang.
Razali berkata, beliau juga ingin melihat lebih ramai anak muda mengenali dan menghargai budaya serta makanan tradisi Terengganu.
“Selain mengagihkan juadah berbuka kepada orang ramai di sekitar Pesisir Payang, para sukarelawan juga diberi peluang untuk mencuba sendiri pembuatan kuih tradisional sebelum menghidangkannya kepada pengunjung.
“Program ‘Moreh Selepek Sahur’ dijangka akan diteruskan sebagai acara tahunan dalam usaha memperkasakan pelancongan budaya negeri Terengganu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027,” ujarnya.