• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

MPKK Jabi Gotong-Royong Baiki Pondok Polis

SETIU, 22 September – Pondok polis Jabi yang terjejas akibat dibadai ribut pada Khamis lalu mendapat perhatian Dr Azman Ibrahim apabila satu aktiviti gotong-royong dijalankan semalam bagi membaiki kerosakan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu berkata, inisiatif berkenaan diambil bagi mengekal dan meningkatkan jalinan baik antara pihak berkuasa dan komuniti.

"Polis dan masyarakat berpisah tiada. Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jabi bergotong-royong baik pulih atap Pondok Polis Jabi yang rosak dalam kejadian ribut khamis lepas. 

"Sekadar sumbangan kecil kami berbanding besarnya pengorbanan anggota keselamatan sehingga kami mampu tidur lena di malam hari. Semoga dengan usaha ini dapat memberikan keselesaan untuk terus berkhidmat. Terima kasih semua,’’ katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Dalam kejadian ribut terbabit, sekitar 30 buah rumah di Jabi, kedai serta tanaman padi turut terjejas dan akan diberikan bantuan secara berperingkat.