• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MRC, Yayasan Amal Wujudkan 260 Kios Kongsi Rezeki Seluruh Negara

KUALA NERUS, 31Julai - Sebanyak 260 kios Amal Kongsi Rezeki berjaya diwujudkan hasil kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Yayasan Amal Malaysia (YAM) di seluruh negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, langkah tersebut merupakan ikhtiar mengajak masyarakat memperkuatkan usaha saling membantu sesama rakyat.

"Dalam suasana seumpama ini, bukan sahaja kerajaan yang membantu rakyat, tetapi rakyat turut membantu rakyat. Insya-Allah, saya yakin melaluinya bebanan ditanggung rakyat akan berkurangan.

"Hari ini saya dan Dr. Alias sumbang barangan berharga RM650. Saya mengajak masyarakat turut menyumbang apa-apa saja barang keperluan, tidak perlu banyak, cukup 10 peratus sahaja dari apa yang mereka beli sebagai usaha bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kios Amal Kongsi Rezeki di Sabasun Hypermarket, Wakaf Tembesu, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak dan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail.

Tambah Khairuddin, beliau turut menyasarkan untuk membuka empat lagi kios tersebut di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen Kuala Nerus.

"Selain itu, sepanjang dua bulan kita melalui fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihak parlimen Kuala Nerus telah membelanjakan sebanyak RM600,000 dana bantuan bagi rakyat di sini.

"Sehingga kini, lebih 9,000 keluarga telah menerima manfaat ini melalui program bakul makanan parlimen untuk meringankan bebanan rakyat disamping bantuan tunai kepada sebahagian keluarga," katanya.

 

 

 


Tag: