Berita :
MTHQK 2026 di Terengganu Labuh Tirai
MTHQK 2026 di Terengganu Labuh Tirai
Ahmad Zaeem Zainudin
5 jam yang lepas
77

KUALA NERUS, 19 April - Perkampungan 108 peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2026 di Terengganu melabuhkan tirai secara rasmi malam tadi selepas enam hari menghimpunkan qari, qariah, hafiz dan hafizah dari seluruh negara.

Program yang berlangsung sejak 13 April itu menyaksikan peserta dari 14 negeri ‘berkampung’ di Stadium Tertutup Gong Badak dalam menyemarakkan penghayatan terhadap kalam Ilahi dalam suasana penuh harmoni sepanjang penganjurannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, penganjuran bertemakan 'Kalam Ilahi Tradisi Diwarisi' membawa mesej signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat berakhlak dan sejahtera.

"Al-Quran sebagai kalam Ilahi adalah kompas utama dalam mentransformasikan nilai kehidupan kita agar sentiasa seimbang antara kemajuan fizikal dan kekuatan spiritual.

"Tanpa bimbingan wahyu, kemajuan material hanya akan membawa kepada kekosongan jiwa, namun dengan Al-Quran kita mampu membina tamadun yang mempunyai akar moral yang teguh," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup dan Pengurniaan Hadiah MTHQK 2026 di sini, malam tadi.

Beliau turut mengingatkan bahawa dunia Islam memerlukan kebangkitan berasaskan Al-Quran, sebagaimana dihuraikan oleh tokoh pemikir Islam.

"Apabila dorongan Al-Quran semakin terhakis sedikit demi sedikit, dunia Islam akhirnya terhenti seperti sebuah enjin yang telah kehabisan bahan bakar.

"Maka, menghidupkan kembali dorongan Al-Quran merupakan prasyarat utama bagi kebangkitan umat ini, sama ada dari sudut intelektual, moral mahupun material," ujarnya.

Menurut beliau, Al-Quran bukan sekadar tinggalan sejarah atau dibaca untuk keberkatan semata-mata, sebaliknya merupakan wahyu yang hidup dan relevan sepanjang zaman.

"Ia adalah wahyu yang hidup, yang sentiasa berbicara kepada setiap zaman, setiap generasi dan setiap pencari kebenaran.

"Justeru, menjadi satu keperluan mendesak untuk kita menilai semula bagaimana kita berinteraksi dengan Al-Quran," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar umat Islam bukan sahaja memperindahkan bacaan, malah menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup.

"Mendampingi Al-Quran itu sendiri sudah merupakan satu kemenangan yang besar di sisi Allah SWT," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM selaku pengerusi jemaah hakim MTHQK 2026, Dato' Dr. Sirajuddin Suhaimee memaklumkan, seramai 108 peserta mengambil bahagian melibatkan 14 qari, 14 qariah, 42 hafiz dan 38 hafizah dari seluruh negara.

Katanya, komposisi peserta tahun ini mencerminkan penyertaan inklusif dengan julat umur antara 14 hingga 63 tahun serta melibatkan pelbagai latar belakang termasuk pelajar, mahasiswa, guru, teknokrat dan agamawan.

"Secara keseluruhannya, pencapaian peserta bagi kategori tilawah adalah amat memuaskan, manakala kategori hafazan pula menunjukkan prestasi cemerlang dari segi penguasaan, kelancaran dan tajwid.

"Namun, beberapa penambahbaikan wajar dilaksanakan terutama dari segi penguasaan suara, tarannum serta persembahan bagi melahirkan peserta yang lebih kompetitif di peringkat antarabangsa," katanya.

Majlis penutup itu menjadi simbol kemuncak penganjuran MTHQK 2026 di bumi Terengganu, yang dijangka hanya akan kembali berlangsung di negeri ini dalam tempoh kira-kira 18 tahun lagi berikutan sistem giliran penganjuran yang melibatkan negeri-negeri lain di seluruh negara.


Ketupat

Artikel Berkaitan