• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Muafakat Nasional Masih Kekal - Tuan Ibrahim

KUALA TERENGGANU, 2 September - “Kerajaan yang ada ini adalah gabungan tiga parti dan kita mahu terus kekal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) akan datang,” ujar Timbalan Presiden Pas, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, gabungan tiga parti iaitu PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih kekal dan perjumpaan terakhir semua pemimpin gabungan tiga parti adalah beberapa hari sebelum pembentukan kerajaan pada 17 Ogos lalu.

"Sebelum ini pertemuan dengan UMNO hanya dilakukan secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19, namun hubungan kita terus berjalan.

"Cuma mesyuarat rasmi Muafakat Nasional(MN) yang pertama selepas pembentukan Kabinet baharu dijangka dilakukan dalam masa terdekat di pejabat MN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berdekatan Pulau Sekati di sini semalam.

Walau bagaimanapun katanya, tarikh khusus mesyuarat berkenaan belum diputuskan lagi ketika ini.