• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Muafakat Nasional Terengganu Terus Dipertahan

KUALA TERENGGANU, 15 September – Kerjasama antara parti dalam Muafakat Nasional Terengganu akan terus diperkasa dan dipertahankan demi kepentingan rakyat serta negara.

Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah usaha untuk menghancurkan Muafakat Nasional daripada musuh, kekangan itu dihadapi dengan penuh tekad dan istiqamah bagi memastikan persepakatan itu kekal relevan termasuk di negeri ini.

“Sempena ulang tahun yang pertama, mudah-mudahan Muafakat Nasional di peringkat Terengganu akan semakin baik, ia sudah tentu menjadi harapan dan sesuatu yang dinanti oleh rakyat jelata bukan sahaja di sini bahkan seluruh negara,” katanya ketika diminta mengulas tentang Muafakat Nasional Terengganu selepas menziarahi rakyat di Wakaf Mempelam semalam.         

Wan Sukairi yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu berkata, tidak timbul soal sebulu atau tidak kerana penyatuan yang dibina itu berasaskan kesedaran demi agama, bangsa dan negara.

“Kita di Terengganu tiada masalah yang berlaku, isu yang agak panas di sidang DUN baru-baru ini adalah sesuatu perkara yang biasa dan insya-Allah itu tidaklah menggambarkan hubungan atau keadaan Muafakat Nasional Terengganu sebenar.

“Insya-Allah ia berada dalam baik-baik sahaja, dalam program-program bersama pun kita semua telah menyaksikan kesungguhan semua pihak, walaupun setahun itu bukan satu tempoh yang panjang namun terlalu banyak cabaran daripada dalam dan luar dihadapi dengan baik. 

“Asalkan kita mempunyai tekad bahawa Muafakat Nasional harus diperkasa dan diperkukuhkan insya-Allah Muafakat Nasional akan terus menjadi teras kepada kerajaan di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti,” tambah beliau.


Tag: