lightning-solid
Berita :
Muhammad Thaqif Harumkan Nama Terengganu Di Korea Selatan
Muhammad Thaqif Harumkan Nama Terengganu Di Korea Selatan
Amiirullah Mansor
05 Nov 25
101

KUALA TERENGGANU, 11 November - Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif, Muhammad Thaqif Muhammad Zharif, berjaya merangkul dua pingat emas di pentas antarabangsa melalui For Youth With Disabilities 2025 yang berlangsung di Ulsan, Korea Selatan baru-baru ini.

Turut bersama menyertai program berprestij itu ialah rakan sekolahnya, Nik Nurizazi Syafiah Nik Azmi, yang sama-sama menonjolkan bakat dan semangat juang tinggi.

Kedua-duanya merupakan pelajar berkeperluan khas (OKU) yang membuktikan bahawa kekurangan fizikal atau cabaran peribadi tidak menghalang mereka untuk mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada kedua-dua pelajar atas pencapaian luar biasa tersebut.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Muhammad Thaqif dan Nik Nurizazi atas kejayaan mereka mengharumkan nama Terengganu di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar OKU juga mampu bersinar dengan usaha gigih dan semangat juang yang tinggi. Mereka menjadi inspirasi kepada rakan sebaya dan anak muda di seluruh negeri,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para guru, pembimbing, dan pihak sekolah yang tidak jemu memberikan tunjuk ajar, bimbingan, serta sokongan sepanjang persiapan dan penyertaan program antarabangsa ini.

“Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa bimbingan guru-guru yang berdedikasi. Terima kasih atas kesabaran, tunjuk ajar, dan motivasi yang berterusan sehingga mereka mampu mencapai prestasi cemerlang di peringkat dunia,” tambahnya.

IMG_3846.jpeg 149.95 KB
Kejayaan Muhammad Thaqif dan Nik Nurizazi membuktikan bahawa anak-anak Terengganu, termasuk yang berkeperluan khas, mampu menembusi batasan dan melakar kejayaan di arena antarabangsa. 

Semangat dan dedikasi mereka diharapkan menjadi dorongan kepada lebih ramai pelajar untuk berani mencabar diri, membina keyakinan, dan mengekalkan aspirasi tinggi dalam mengejar impian masing-masing.


Tag :

Artikel Berkaitan