• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Munajat Rakyat Kembalikan Royalti Akan Diteruskan

KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri akan meneruskan kembali program 'Munajat Rakyat Terengganu Kembalikan Royalti' setelah ia ditangguhkan pada Ramadan yang lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, munajat itu merupakan usaha daripada pihak kerajaan yang tidak pernah berputus asa melakukan pelbagai cara bagi memastikan hak rakyat itu dikembalikan semula.

Tegasnya, semua pihak perlu menyedari bahawa doa orang zalim tiada hijab (penghalang) antaranya dengan Allah SWT.

"Insya-Allah, bila tiba masanya kita akan buat. Status kita pada ketika ini seumpama kereta yang duduk (berhenti) di lampu isyarat merah sebab tidak diberi laluan untuk berjalan.

"Tetapi enjin tidak mati, insya-Allah bila tiba masa kita akan buat solat hajat bersama-sama," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkenaan program solat hajat secara berjemaah itu setelah ia ditangguhkan sebelum ini pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini.

Sementara menunggu tarikh baru pelaksanaan munajat perdana itu, Khalil berkata setiap rakyat Terengganu pada ketika ini bolehlah melazimi solat hajat secara bersendirian di atas kesedaran dalam diri masing-masing bahawa itu merupakan hak rakyat yang telah dinafikan secara zalim.

"Menafikan hak petroleum Terengganu merupakan perkara yang paling zalim dan melanggar demokrasi, pelanggaran ini sangat serius jika tidak dibendung dan diperbetulkan kelak akan menghakis dan meruntuhkan nilai-nilai demokrasi dalam negara.

"Dalam konteks ini ialah konsep federalisme dalam hubungan (Kerajaan Perseketuan) dengan negeri, zalim bukan sahaja disandarkan (dikaitkan) dengan pemerintahan 'dictatorship' bahkan pemerintahan demokrasi juga dikira zalim sekiraya meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.

"Mereka beralasan mahu beri (royalti minyak) secara 'direct' kepada rakyat, jika begitu kenapa perlu diadakan pilihanraya? bukankah rakyat Terengganu telah memberi menberi mandat kepada (PAS) Perikatan Nasional untuk mentadbir negeri Terengganu, jelas ini satu pengkhianatan ke atas mandat rakyat," ujarnya.