• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Mursyied Mahu SImpan Duit Bantuan, Berhasrat Jadi Ulama

KUALA NERUS, 6 Jun- Penerima 'one-off' Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Muhammad Mursyied Islamie Mayuddin, 13, mahu menyimpan bantuan yang diterimanya bagi tujuan pembelajaran demi mencapai cita-cita untuk menjadi seorang ulama.

Katanya, duit RM2,500 itu akan dimanfaatkan bagi memenuhi dan mengikuti jejak keluarganya.

"Selama ini saya telah mendapat biasiswa sebanyak RM70 sebulan di sekolah, apa yang diterima ini untuk mencapai cita-cita saya ini untuk mengikuti jejak langkah Allahyarham ayah saya yang juga merupakan seorang guru agama,"ujarnya.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Terengganu, di Komplkes Sukan Gong Badak di sini baru-baru ini.

Anak bongsu daripada 10 beradik itu berkata, pemberian berkenaan sangat membantu meringankan bebanan keluarga dalam menguruskan persekolahannya sejak kehilangan bapa akibat Covid-19.

"Selain saya, seorang lagi yang masih bersekolah ialah Muhammad Muqtasied Mayuddin, 16, yang mana setelah bapa pergi yang mengambil alih tugas dan tanggungjawab ayah ialah abang saya Muhammad Mujadidul Islam, 28, yang merupakan seorang pendakwah bebas,"ujarnya yang merupakan antara 10 penerima sumbanga daripada Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

Antara yang turut menerima sumbangan tersebut ialah seorang bayi berusia dua tahun, Aisyah Amani Harun yang menerima sumbangan sebanyak RM 2,000.

Menurut ibu kepada bayi berkenaan, Noraziah Adam, 36, bantuan itu akan dimanfaatkan untuk menyara kehidupan mereka tiga beranak selepas kematian suami pada November tahun lalu akibat Covid-19.