• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Muzium Angkat Martabat Singgang

KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) berhasrat mengangkat martabat masakan 'singgang' ke peringkat yang lebih tinggi di samping memastikan warisan nenek moyang itu kekal terpelihara sepanjang zaman terutama dalam kalangan generasi muda hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata usaha dilakukan pihak LMNT dengan mengadakan pertandingan 'Juara Singgang' memberi impak yang sangat baik.

"Pertandingan ini bukan sahaja sekadar hencak mencari juara tetapi mengangkat martabat agar ia menjadi tersohor dan mendapat pengiktirafahan.

"Pernah dibuktikan melalui kajian di mana rempah ratus serta bahan yang digunakan dalam masakan singgang menjadi ramuan ubatan yang mujarab.

"Terima kasih kepada pihak muzium kerana sentiasa berusaha mencari jalan bagi mengangkat martabat 'singgang' ini, bagi memastikan ia mendapat sambutan dan menjadi menu yang popular dan dikenali oleh pengunjung dari luar negeri Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup  Pertandingan Juara Singgang Terengganu 2023, di Dataran Dato' Setia Wangsa, Kompleks Muzium negeri, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Muzium negeri, Fauzi Muda.

Dalam pada itu fauzi berkata berkata program itu julung-julung kali diadakan selain bertujuan bagi mendedahkan bahawa Terengganu memiliki makanan berkhasiat sejak turun temurun.

"Pertandingan ini mengumpulkan lapan daerah dalam negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah bagi memasak 'Ikan Singgang Aye Hitam'.

"Dengan usaha dijalankan ini kita mengharapkan singgang akan menjadi pilihan pelancong selain daripada nasi dagang.

"Pihak muzium akan sentiasa berusaha memelihara warisan nenek moyang ini yang sepatutnya menjadi kebanggaan kepada anak Terengganu," ujarnya.

Untuk rekod, Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azizah Mahmod pernah mengeluarkan kenyataan ikan singgang berupaya untuk merawat penyakit Covid-19.

"Kerana mengandungi pelbagai ramuan dan bahan yang mampu untuk menghapuskan mikrob," ujarnya pada Mac 2020.

 


Tag: