KUALA TERENGGANU, 28 April – Kerajaan Negeri Terengganu sedang memperluaskan kajian terhadap pembangunan sumber nadir bumi (REE) melalui pendekatan teknologi baharu bagi meningkatkan hasil mineral negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, selain kaedah in-situ leaching yang digunakan sebelum ini, dua kaedah baharu iaitu heap leaching dan tank leaching kini sedang diterokai untuk dilaksanakan di kawasan tanah rata serta bekas lombong bijih besi.
Menurut beliau, kaedah tersebut berpotensi tinggi kerana sisa lombong (tailing) masih mengandungi sekitar 30 hingga 40 peratus kandungan REE yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Selain itu, kerajaan negeri turut mempertimbangkan pandangan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar sebelum sebarang pelaksanaan dibuat secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan beberapa negara termasuk Perancis dan Amerika Syarikat menunjukkan minat untuk membangunkan kilang hiliran (downstream) di Terengganu. Namun, keputusan lanjut bergantung kepada data bekalan mineral tahunan yang akan dimuktamadkan dalam beberapa suku tahun akan datang.
Tambahnya, Kerajaan negeri menyifatkan pembangunan REE sebagai antara sumber baharu berpotensi tinggi dalam memperkukuh ekonomi Terengganu, namun tetap menekankan aspek pematuhan teknikal dan kelestarian alam sekitar sebagai keutamaan.
Tag :