SETIU, 9 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada empat keluarga mangsa nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di DUN berkenaan.
Empat mangsa nahas dari DUN itu ialah Allahyarhamah Fatin Nasrien dari Kampung Kerandang, Allahyarhamah Nur Ainul Qistina Mat Ali (Kg Anak Ikan), Allahyarhamah Nur Dalila Farhana Mohamad Isma (Kg Bharu Tok Dor) dan Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman (Kg Gong Pasir).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, sumbangan tunai tersebut merupakan inisiatif bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa dalam menyempurnakan urusan kepulangan jenazah anak-anak mereka.
"Di Jabi, memang ada tabung khairat kematian yang apabila berlaku kematian kita bagi RM1,200 kepada ahli dan juga RM1,000 kepada tanggungan.
"Tetapi, apabila mangsa yang terlibat ini bukan ahli, kita salurkan (ia sebagai) bantuan segera bagi meringankan bebanan mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Kerandang, hari ini.
Tambahnya, bantuan itu boleh salurkan bila-bila masa, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana semua waris kini berada di Ipoh menguruskan kepulangan jenazah.
Dr. Azman sempat menziarahi keluarga mangsa di rumah masing-masing serta meninjau persiapan kariah kampung menyambut kepulangan jenazah mahasiswa-mahasiswi terbabit, petang tadi turut meluahkan kesediaan pihaknya membantu.
"Di Kg Kerandang kita sudah siapkan liang lahad dari tadi lagi, di Kg Anak Ikan pun. Maknanya, sekadar yang kita boleh bantu bagi meringankan urusan mereka.
"Ia bukan hanya bantuan secara 'One-off', kita akan bantu apa yang perlu secara berperingkat pada kadar kemampuan kita.

"Alhamdulillah, semua membantu dari kerajaan negeri, UPSI, pejabat ADUN dan badan bukan kerajaan (NGO) juga banyak membantu.
"Bagi pihak DUN Jabi, kami mengucapkan takziah dengan sangat mendalam dan simpati, bukan hanya keluarga tetapi kami juga merasa kehilangan," ujarnya.