Nahas UPSI: Abdul Hadi Rakam Takziah

MARANG, 9 Jun – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa simpati mendalam terhadap insiden kemalangan yang mengorbankan 15 nyawa termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Tasik Banding, awal pagi tadi.

Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas menyayat hati itu.

"Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa tragedi kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat, Tasik Banding, Gerik yang meragut 15 nyawa termasuk pelajar-pelajar daripada UPSI, awal pagi tadi.

"Tragedi ini amat menyentuh hati kita semua, apatah lagi melibatkan anak-anak muda yang sedang menuntut ilmu yang bakal menjadi pewaris masa depan umat dan negara,” katanya dalam kenyataan di media sosial rasmi beliau hari ini.

Beliau turut menzahirkan doa agar semua yang terkorban dikurniakan rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang soleh.

"Saya mendoakan agar semua yang terkorban diluaskan rahmat Allah SWT ke atas mereka.

"Serta ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh," tambahnya.

Beliau juga mendoakan agar mangsa yang masih dirawat segera sembuh dan keluarga yang diuji diberi ketabahan dan kekuatan jiwa.

"Kepada yang sedang dirawat, semoga diberikan kesembuhan yang segera, dan diberikan kekuatan buat ahli keluarga untuk menghadapi ujian ini dengan sabar dan redha," kata beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap nyawa ialah amanah dan kehilangan adalah peringatan agar manusia tidak lupa akan kelemahannya sebagai hamba Tuhan.

"Sesungguhnya setiap nyawa itu amanah.

"Dan setiap kehilangan adalah peringatan untuk kita kembali menginsafi kelemahan sebagai hamba," ujarnya.