Nahas UPSI : Duit Belanja RM21 Jadi Pemberian Terakhir Buat Adik Bongsu

BESUT, 9 Jun - Salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fakhrul Arif Rosdi, 20, yang terkorban dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi sempat memberi duit belanja kepada adik bongsunya sebelum menaiki bas malam tadi.

Menurut sepupunya, Izwan Iskandar Che Sopian, 27, arwah telah  dikatakan memberi wang sebanyak RM21 kepada adiknya Nurul Effa Shahira Rosdi, 16.

"Adik arwah pelik dengan tindakan arwah, tetapi ia tidak menyangka itu adalah pemberian terakhir buatnya, dan dirinya lebih terkilan apabila duit tersebut tercicir. 

" Selain itu, saya juga melihat perubahan ketara apabila arwah banyak termenung dan kurang bercakap ketika berjumpa dengan saudara mara di kenduri di rumah ibu saudara kami di Bukit Yong, Kelantan," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Akar di sini hari ini. 

Menurut Izwan, khabar sedih itu hanya diketahui sekitar jam 4 pagi selepas kakak mangsa melihat berita kemalangan tular di media sosial. 

"Kami segera hubungi pihak hospital untuk pengesahan dan pada jam 7.30 pagi, kami dimaklumkan secara rasmi arwah memang antara mangsa yang terkorban," katanya.

Justeru itu, selepas pengesahan, empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya telah bertolak ke Gerik pagi Isnin untuk menguruskan jenazah mangsa.

"Arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Akar sebaik tiba dari Hospital Gerik," ujarnya.

Menurutnya lagi, arwah Fakhrul Arif merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan kini  mengikuti pengajian dalam jurusan Perakaunan di UPSI.


 


Tag: