• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Nasi Padang, Rezeki Anak Muda Di Musim PKP

KUALA NERUS, 25 Januari – Nasi padang menjadi punca rezeki bagi sekumpulan anak muda dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Walaupun berdepan beberapa kekangan seperti pelanggan tidak dibenarkan menjamu di dalam premis, ia tidak menghalang mereka untuk mengaut keuntungan bagi menyara diri dan keluarga.

Pengusaha warung nasi padang tersebut, Muhammad Yusouf Ghazali, 27, berkata, sejak PKP 2.0 dilaksanakan pada 22 Januari lalu, aneka pilihan lauk terpaksa dikurangkan akibat kekangan semasa namun kedatangan pelanggan hanya terjejas kira-kira 30 peratus berbanding hari biasa.

“Nasi padang kami sesuai ketika musim PKP kerana harganya yang murah dan kuantiti banyak iaitu RM6 sebungkus nasi sekali dengan satu pilihan lauk.

“Contohnya, lauk paling terkenal seperti ayam percik atau daging rendang sekali nasi tidak sampai RM7 habis dibeli pelanggan, rata-rata pekerja dari Dataran Austin dan penduduk berdekatan sekitar 10 kilometer yang ingin berjimat.

“Hasilnya jumlah pembeli masih mencecah 300 orang sehari yang datang bungkus mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemu bual pemberita baru-baru ini.

Tambah anak keempat daripada tujuh adik beradik itu, idea bisnes itu dicetuskan bapanya pada tahun 2018.

"Hingga sekarang saya masih mengekalkan lima pekerja yang juga pemuda berumur 20-an," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan tetap dari Bukit Tunggal, Laily Harun, 48, berkata, harga murah dan pelbagai aneka lauk-pauk menjadi sebab dia menjadi pelanggan tetap di situ.

“Sebelum musim PKP pun saya datang dan belikan untuk keluarga di rumah,” ujarnya.

Untuk rekod, Kedai Nasi Padang tersebut terletak di depan pasaraya Sabasun 2 di Wakaf Tembesu dan dibuka bermula jam 10.30 pagi hingga 4 petang bergantung kepada permintaan dan kuantiti lauk.