• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Nasib 2,400 Keluarga Susah Di DUN Ladang Terbela

KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Nasib 2,400 keluarga yang terjejas pendapatan ekoran Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang terbela selepas menerima bantuan dalam program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sumbangan berjumlah RM240,000 itu diagihkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di komuniti masing-masing.

"Kita telah berbelanja membantu mereka yang tidak dapat bekerja disebabkan PKPD dengan jumlah RM100 untuk satu keluarga dalam bentuk pakej bekalan makanan yang mengandungi 17 jenis barangan.

"Alhamdulillah, tidak ada sebarang rungutan daripada penduduk yang tidak berpuas hati, tetapi sekiranya ada yang mengira mereka patut menerima tetapi  belum menerimanya. 

"Oleh itu, mereka yang terjejas tetapi masih belum menerima bantuan boleh hubungi JPKK atau Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ladang, insya-Allah, kita akan hubungi dengan segera, pokok pangkalnya setiap yang sepatutnya dibantu akan dibantu supaya tiada yang tertinggal," jelasnya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut beliau, selain peruntukan kerajaan Terengganu sebanyak RM200,000 untuk setiap DUN, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim juga turut memperuntukkan bantuan kepada empat DUN di kawasan Kuala Terengganu.

Katanya, pihaknya juga menyediakan kenderaan untuk memudahkan orang ramai untuk pergi dan balik semasa mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) di Kampung Laut. 

"Pusat Khidmat dan JPKK juga membantu membeli dan menghantar barang dan makanan memandangkan kesulitan yang dialami oleh penduduk yang terlibat dengan PKPD. Setakat ini ia berjalan dengan baik dan kita sentiasa bersedia membantu," katanya lagi.


Tag: