• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Nasib Tujuh Keluarga Mangsa Kebakaran Terbela

KEMAMAN, 29 Januari - Nasib tujuh keluarga yang menjadi mangsa rumah terbakar di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi terbela apabila kerajaan negeri akan membina kediaman baharu untuk mereka.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya amat memahami situasi mereka yang terkesan dengan kejadian tersebut.

"Projek pembinaan rumah ini akan bermula Mac depan dan dijangka siap menjelang Hari Raya Aidilfitri," ujarnya kepada pemberita selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan kewangan kepada semua mangsa itu, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, organisasi-organisasi daripada parti dan badan bukan kerajaan (NG0) serta orang awam yang telah sama-sama menyumbang bagi meringankan bebanan mangsa ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat memaklumkan tujuh buah rumah itu akan dibina semula di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). 

"Kita bersimpati dengan mangsa terlibat dan akan membina semula rumah dengan kos sebanyak RM60,000 sebuah," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai.