• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

NGO Kini Diiktiraf Sebagai Rakan Strategik JKM

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU , 24 Disember – Badan Bukan Kerajaan (NGO) kini diiktiraf sebagai rakan strategik dan diberi ruang oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk turut membantu jabatan dalam kes bencana alam dan musibah seperti banjir yang dihadapi oleh rakyat sekarang.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, ia sangat bertepatan dengan suasana sekarang iaitu musim tengkujuh dan bencana tersebut yang sedang berlaku.

“Sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab kepada kerajaan negeri dan persekutuan (concurrent list), JKM mempunyai peranan yang besar membantu rakyat termasuk dari kalangan orang miskin, uzur, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak.

“JKM tidak lagi melihat NGO sebagai sasaran kerja mereka tetapi menjadi rakan strategik mereka mengharapkan sumbangan dan peranan dari NGO,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan lawatan kerja bersama NGO Marang ke Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) Negeri Terengganu, pada semalam.

Katanya, tujuan utama lawatan ini ialah sebagai persiapan untuk menghadapi bencana alam terutama banjir.

“Saya agak terkesan dengan apa yang berlaku di Selangor dan Pahang yang menghadapi keadaan banjir yang sangat teruk.

“Sebab itu antara yang kita boleh buat selain dari melalui jabatan ialah melalui NGO. Sebab itu saya panggil beberapa NGO  untuk terlibat dengan program ini supaya dia boleh tahu  apa  peranan yang boleh dimainkan sewaktu musibah seumpama ini,” ujar beliau.

Beliau menambah, situasi banjir di Terengganu pada masa kini terkawal walaupun telah berlaku perpindahan terutamanya di daerah Kemaman dan Dungun.

Justeru itu, semua pihak harus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

“Saya difahamkan melalui portfolio Belia Sukan dan NGO Terengganu menghantar sejumlah sukarelawan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di sana  terutama pasca banjir kerana apa yang berlaku di negeri lain itu  kita merasakan tanggungjawab bukan untuk menjaga diri kita  sahaja.

“Kerana perkara seumpama ini perlu ada kerjasama dari semua negeri bagi meringankan beban di tempat berkenaan,” tambah Dato' Yahaya.