• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

NGO Sumbang 40,000 Liter Air Melalui Dua Treler

KUALA NERUS, 5 Ogos - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Khidmat malaysia Kuala Terengganu pada hari ini telah mula menjalankan misi memberi sumbangan air minuman kepada penduduk terjejas akibat krisis air sebanyak 40,000 liter bekalan air bersih atau 2,000 balang air yang dibawa melalui dua treler.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata dimana pada hari ini bantuan melalui treler pertama ditumpukan dahulu di  Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh.

"Pada esok Insya-Allah akan datang lagi dengan satu treler khusus untuk DUN Batu Rakit, dan juga NGO akan bertanggungjawab menguruskan treler bantuan air di Manir dan Buluh Gading.

"Juga pada lusa insya-Allah akan ada lagi satu treler untuk agihan di DUN Seberang Takir dan juga Bukit Tunggal yang mana kita kira melibatkan enam DUN kesemua sekali yang terjejas," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Khidmat Malaysia Kuala Terengganu berkata demikian, ketika hadir menyampaikan bantuan berkenaan, di sini, pada hari ini.

Turut hadir, ADUN setempat, Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi, juga ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

Mengulas lanjut katanya, bantuan air berkenaan mencukupi untuk keperluan rakyat yang menghadapi masalah air pada waktu ini.

"Di samping itu balang yang dibawa ini juga akan berperanan untuk digunakan untuk isian semula bekalan air. Insya-Allah pihak kita akan memastikan sumbangan akan berterusan sehinggalah masalah ini berakhir.

"Yang mana ia telah melanda Kuala Nerus, sebahagian di Setiu dan juga Hulu Terengganu," ujarnya.

Sementara itu seorang penduduk berbangsa Tiong Hua, Too Seng Chua berkata pihaknya sangat berterima kasih diatas bantuan bekalan air berkenaan.

"Tiada dapat dinafikan dalam keadaan seperti sekarang memang menghadapi kesulitan sedikit, dengan bantuan ini dapatlah meringankan beban yang dialami.

"Saya memang sangat menghargai ADUN setempat, Ustaz Hishamuddin yang memberi kecaknaan dan sentiasa menolong di waktu rakyat menghadapi kesusahan. Terima kasih kerajaan Terengganu.

"Saya berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan dipulihkan segera, itu menjadi harapan saya," katanya.

 

 

 


Tag: