KUALA TERENGGANU,5 November- Kesukaran mengikuti pembelajaran ketika di peringkat sekolah menengah akibat diuji dengan masalah kesihatan, tidak menghalang Nur Aufa Johan,24, untuk akhirnya lulus cemerlang dan berjaya menggenggam segulung ijazah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris Dengan Kepujian yang disahkan menghidap penyakit jantung bengkak dan hipertiroidisme ketika berusia 16 tahun itu berkata, dugaan tersebut tidak membuatnya berputus asa, sebaliknya menjadi kekuatan untuk mencipta kejayaan.
Anak kelima daripada enam beradik yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu juga merupakan penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) yang disampaikan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali Ke-15 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, hari ini.
“Saya sangat berbangga sebab Allah kurniakan saya dengan kudrat dan berjaya menerima anugerah pada hari ini.
“Kejayaan hari ini bukanlah usaha saya seorang tetapi berkat doa dan sokongan daripada kedua ibu bapa, keluarga serta para pensyarah,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tersebut.
Berkongsi kisah penyakit yang dihadapi, Nur Aufa memberitahu, dia pernah tidak hadir ke sekolah beberapa bulan dan hospital menjadi rumah keduanya, menyebabkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang didudukinya kurang memuaskan.
“Waktu itu sangat sedih kerana hasrat saya untuk hadiahkan keputusan cemerlang buat ibu ayah seperti abang dan kakak yang lain tidak kesampaian.
“Baru saya sedar betapa pentingnya pendidikan. Saya berazam untuk berusaha lebih gigih untuk banggakan ibu ayah dan hadiahkan kejayaan buat mereka suatu hari nanti,” katanya.
Kini, Nur Aufa bukan sahaja berjaya melunaskan azamnya, bahkan telah membanggakan kedua orang tuanya apabila berjaya menjawat jawatan sebagai pegawai strategik di Bahagian Komunikasi Korporat, PETRONAS di ibu negara.
Anak gadis kepada pasangan Johan Mansor, 66, dan Nooraini Ismail, 60, itu turut merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana kelak.