• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

Orang Asli Dewasa Sungai Berua Berkhatan


Seramai 20 peserta masyarakat Orang Asli Sungai Berua berusia dalam lingkungan lapan hingga 20 tahun menyertai program berkhatan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Penolong Setiausaha Dakwah Saudara Kita (Maidam), Abdul Halim Lim Abdul Rahman berkata, inisiatif itu merupakan program kali ketiga yang dilaksanakan pihaknya menerusi kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan komuniti berkenaan turut melaksanakan kewajipan sebagai orang Islam dengan berkhatan.

"Kita buat secara percuma termasuk pendedahan mengapa perlunya berkhatan dan syukur mereka memahaminya dan menerimanya walaupun agak lambat tentang dakwah yang cuba disampaikan.

"Bukan sahaja masyarakat Orang Asli Sungai Berua yang terlibat dalam program seperti ini kerana pihak kami turut laksanakan secara bersama dengan dua lagi komuniti Orang Asli iaitu di Sungai  Pergam di Kemaman dan  Sungai Sayap di Besut yang melibatkan lebih kurang 291 keluarga secara keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas program berkhatan di perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu, hari ini.

Abdul Halim berkata, pihaknya memperuntukkan hampir RM7,000 untuk program kali ini dengan setiap peserta akan mendapat sedikit barangan, cenderahati berupa kain pelikat dan wang tunai.

Jelasnya lagi, pihaknya turut merancang selepas bulan Syawal, mereka yang dewasa belum berkhatan akan dibawa ke hotel untuk dikhatankan diajar pantang larang dan penjagaan yang perlu bagi memberi keselesaan, mengurangkan rasa rendah diri dan malu jika dibuat secara terbuka di perkampungan mereka.



Seorang peserta, Faizal Hassan, 16, mengakui belum sempat berkhatan
kerana perasaan takut sentiasa menyelubunginya apabila mendengar perkataan khatan.

"Saya tahu khatan adalah satu kewajipan bagi orang lelaki Islam, saya cuba kumpulkan keberanian dan sebab itu saya melakukannya kerana keinginan berkhatan datang daripada hati saya tanpa ada paksaan.

“Ada juga dengar orang cakap yang bukan-bukan tentang berkhatan, tetapi hati saya kuat pada kali ini...dah lama saya tangguh dan hari ini saya sudah pun melaluinya... Alhamdulillah tidak rasa sakit ," kata  Faizal.

Alias menunjukkan akar rempah gunung yang digunakan sebagai ramuan ubat bagi menyembuhkan luka berkhatan


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Sungai Berua, Alias Pelong berkata,  program itu perlu diteruskan setiap tahun perlu bagi memastikan kanak-kanak orang asli berkhatan seawal usia mereka.

Tambahnya lagi, menjadi satu tradisi apabila selepas berkhatan, anak-anak tidak bergantung sepenuhnya kepada ubat moden dibekalkan sebaliknya mengamalkan minum air rebusan akar tumbuhan hutan dinamakan rempah gunung bagi cepatkan proses pemulihan.

“Cuma ia tidak akan diminum pada hari sama ubat moden dimakan, sebaliknya diselang-seli setiap hari. Sebelum program, kami sudah ke hutan cari akar rempah gunung ini untuk direbus sebelum diberi minum kepada peserta berkhatan,”ujar Alias.

Tag: