• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Antara Yang Terbaik

KUALA TERENGGANU, 14 Disember- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyifatkan Padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak antara yang agak baik dalam negara ini.

Walaupun begitu katanya, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam memastikan padang tersebut dapat berfungsi ke tahap optimum untuk mana-mana perlawanan.

“Buat masa ini, padang kita masih ada beberapa ‘hot spot’ yang memerlukan pemerhatian khusus pihak penyelenggaraan dalam musim-musim (suasana hujan lebat) seperti ini.

“Saya berharap, satu penyelenggaraan menyeluruh akan dilaksanakan sementara tempoh rehat panjang sebelum bermula liga musim depan,” ujar beliau dalam satu hantaran di laman facebook.

Katanya, berdasarkan laporan Bahagian Infrastruktur Dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu memaklumkan, kerja-kerja pemulihan padang akan dilaksanakan segera selepas perlawanan akhir pada 17 Disember ini dan bergantung kepada perkembangan cuaca semasa. 

“Antara perkara yang perlu dilaksanakan nanti ialah memasukkan benih baharu, memperbaiki kawasan air bertakung yang berpunca dari sistem pengairan di bawah padang, ‘topdressing’ atau hias permukaan dan juga pengudaraan (aeration),” jelasnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan Kompleks Sukan yang menjaga padang tersebut dengan sebaiknya.