• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Paip Air Lama di Setiu Perlu Ditukar

KUALA TERENGGANU, 30 November - Paip air sedia ada yang lama di daerah Setiu perlu ditukar bagi mengelakkan kebocoran berulang dan menyebabkan kerugian air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, isu itu adalah isu lama yang berlarutan di kebanyakan tempat di kawasan Setiu.

"Saya mencadangkan satu projek penggantian paip-paip ini dapat dibuat dengan kadar segera dalam mempastikan isu kebocoran paip utama ini dapat diselesaikan.

"Apatah lagi permintaan sumber air bersih kini meningkat dengan pertambahan penempatan baharu di pelbagai kawasan di Setiu," katanya ketika Sesi Perbahasan Ke Atas Enakmen Perbekalan 2024 di Dewan, di sini semalam.

Jelas Azmi, kerajaan juga perlu meneliti masalah kebocoran paip air yang serius terhadap bekalan air bersih ke Pulau Redang.

"Dianggarkan berlaku kebocoran sebanyak 3 juta liter sehari di dasar laut," tambahnya.

Dalam masa yang sama, Azmi berkata Setiu memerlukan jajaran paip air baharu bagi menjamin isu kebocoran paip tidak berulang dalam jangka masa yang panjang.


Tag: