• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

'Paling Penting, Pastikan Bantuan Kepada Sasaran'

KUALA NERUS, 30 Jun - "Mengibarkan bendera putih tidak menjadi kesalahan, namun apa yang paling baik ialah bagaimana kita menyampaikan bantuan kepada sasaran."

Itu nasihat yang diluahkan Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hari ini.

Jelasnya, masyarakat di setiap peringkat perlu berusaha dengan pelbagai cara termasuk berdoa, berikhtiar dan turun padang untuk menyampaikan bantuan.

"Paling penting, kita mahu selamatkan seramai mungkin daripada terjebak dengan isu seperti stress melampau, hyperdepression dan sebagainya.

"Inilah yang kita jalankan dari masa ke masa, pejabat kami sentiasa dapat aduan dan kami sentiasa buat laporan bagaimana musaadah ini dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sebanyak 200 pek barangan keperluan makanan kepada ADUN Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim melalui program YADIM di pejabat DUN berkenaan, hari ini.

Beliau turut menafikan tanggapan salah sebahagian pihak tentang institusi zakat dalam menyampaikan bantuan.

"Kami menggerakkan sehabis baik institusi-institusi zakat, sebab itu hampir setiap bulan saya akan membuat laporan berkenaan perbelanjaan demi perbelanjaan zakat.

"Sebagai contoh, tahun lalu di Wilayah Persekutuan kita membelanjakan lebih RM630 juta untuk fakir miskin, golongan memerlukan, asnaf dan sebagainya. 

"Saya juga dapati pusat-pusat zakat seluruh negara telah memainkan peranan dalam ruang lingkup masing-masing," katanya.


Tag: