• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pameran Petrosains DinoTrek 2 Dilanjutkan Sehingga 30 Mac


Pameran Petrosains DinoTrek 2 di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Kampung Laut, Kuala Terengganu, dilanjutkan sehingga 30 Mac depan bagi memberi peluang kepada orang ramai terus menyaksikan pelbagai replika spesies raksasa prasejarah dan dinosaur secara dekat.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Prof Madya Dr Wan Nor Liza Mahadi, berkata pameran yang pastinya menjadi tarikan utama  pengunjung ke PSKT itu sepatutnya berakhir  pada 31 Oktober tahun, dilanjutkan di atas permintaan orang ramai, terutama pihak sekolah.

Katanya, PSKT bersetuju melanjutkan untuk tempoh lima bulan lagi sebelum berakhir 30 Mac ini. Selepas tarikh itu, pihaknya akan mengantikan pameran bermusim lain berasaskan sains dan teknologi.

“Mengambil pendekatan sama, iaitu mengadakan kolaborasi dengan mana-mana syarikat ternama atau Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti.

“Pendekatan itu bukan sahaja mampu menjimatkan kos malah boleh menarik minat ribuan pengunjung, terutama pada musim cuti sekolah,”katanya kepada teganukita.

Wan Nor Liza turut memberitahu, berdasarkan rekod, lebih 120,000 pengunjung  dicatatkan telah mengunjung pameran itu sejak dibuka pada April tahun lalu sehingga akhir Januari baru-baru ini.   

“Sambutan sangat menggalakkan terutama pada musim cuti persekolahan  November  lalu dengan catatan kira-kira 25,000 pengunjung,”katanya.

Pameran dibuka kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 5 petang pada setiap hari Ahad hingga Rabu dan dari pukul 9 pagi hingga 4 petang (Khamis hingga Sabtu).


Bayaran masuk yang dikenakan adalah RM10 untuk dewasa, RM5 untuk kanak-kanak atau remaja berusia 5 hingga 17 tahun, RM4 untuk setiap peserta rombongan sekolah dan RM20 untuk pakej keluarga (dua dewasa dan dua kanak-kanak).

Oleh: Umi Amirah Mohd Puzi dan Naufal Ab Manan (pelajar praktikal MSU)

Tag: