• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Panasonic Cadang Bina Kilang Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Syarikat teknologi gergasi Jepun, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) bakal berkerjasama dengan Terengganu sebagai kerajaan negeri pertama sejak 1972 dalam membangunkan ekonomi dan modal insan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, antara cadangan awal kerjasama itu adalah melalui pembinaan kilang pembuatan penghawa dingin serta keutamaan jawatan buat lepasan institusi latihan dalam negeri ini.

“Kita akan menawarkan kepada PAPAMY untuk melebarkan sayap perkilangan pertama kali di Pantai Timur, saya difahamkan jumlah kilang elektronik dibawah cabang itu adalah 22.

“Terengganu mempunyai tanah industri bersesuaian dengan lokasi strategik berdekatan dengan perlabuhan, tambahan lagi dengan projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), faktor pemilihan akan berdasarkan jajaran tersebut,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu turut berkongsi hasrat kedua PAPAMY iaitu mereka mahu menjadikan pusat latihan kemahiran dalam negeri sebagai ‘anchor’ bagi meningkatkan jaminan pekerjaan buat lepasan pendidikan tersebut.

“Mereka ingin menghasilkan satu kursus dalam bidang penghawa dingin sebagai silibus pembelajaran, menerusinya, ia memberi jaminan buat pelajar kita bagi terus bekerja sebaik sahaja menamatkan latihan tidak mengira sijil, diploma atau degree.

“Silibus mereka sudah diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bagi menyelaraskan pelaksanaannya, Urus setia Pekerjaan Terengganu (UPNT) yang mempunyai 30 agensi bercampur dibawahnya akan meneliti cadangan awal ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) dengan Panasonic Appliances Air conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) telah dimeterai bagi memastikan kadar pengangguran dikurangkan seterusnya akan meningkatkan mutu dan taraf hidup rakyat.