• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Pantau Projek Elak Terbengkalai


Ahmad Samsuri bermesra dengan kanak-kanak Orang Kurang Upaya. Foto Harish Fadzillah Kassim

Kerajaan negeri akan memantau secara serius semua projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Kuala Nerus bagi mengelak terbengkalai.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemantauan lebih kerap itu dibuat memandangkan ada beberapa projek yang lewat siap daripada tarikh sepatutnya.

Katanya, hari ini dia diberi taklimat mengenai projek pembangunan di Kuala Nerus dan dimaklumkan terdapat beberapa projek mengalami kelewatan, termasuk projek tebatan banjir.


“Perkara itu perlu dipandang serius kerana berkait dengan masalah penduduk setempat di mana di antara mereka terutama yang tinggal berhampiran pantai dibelenggu kehilangan rumah,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Daerah Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, ADUN Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim dan ketua-ketua jabatan lain.


Ahmad Samsuri turut memberitahu, seboleh-bolehnya setiap projek yang bakal dilaksanakan kerajaan kelak akan mengambil kira pandangan rakyat bagi mengelak rasa tidak puas hati.

“Perkara itu sememangnya menjadi dasar kerajaan, apa yang disuarakan rakyat akan dibincangkan dalam mesyuarat.

“Bagaimanapun ada juga projek yang perlu dilaksana tanpa pandangan mereka, sebaliknya memerlukan khidmat beberapa pakar dalam bidang berkaitan,”katanya.



Tag: