• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PAS Kini Bukan 'Parti Kampung' – Dr Sam

KUALA TERENGGANU, 14 Januari – "Parti Islam Se-malaysia (PAS) kini bukan lagi dianggap sebagai ‘parti kampung’ dan ianya adalah lebih dari hanya sekadar parti,” ujar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menteri Besar Terengganu itu berkata sebenarnya dalam PAS, terdapat ramai ahli yang datang dari pelbagai bidang dan latar belakang. 

Katanya, kebanyakan daripada mereka tidak menonjol ke depan, sebaliknya amat berperanan di belakang tabir dan terlibat dalam menyusun atur strategi untuk PAS terus bergerak ke hadapan. 

“Di Malaysia, kita amat memahami struktur masyarakat yang terdiri daripada kepelbagaian etnik serta agama dan PAS merupakan parti yang sudah relevan serta boleh diterima oleh masyarakat dalam negara ini. 

“PAS mempunyai potensi untuk menjadi sebuah parti Islam yang moden,” Katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, beliau merupakan salah seorang yang pernah menjadi sebahagian daripada mereka sebelum diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018.

Beliau berkata, PAS sudah berada sejauh ini dan akan terus bergerak ke hadapan.

“Ada juga yang beranggapan PAS sebuah parti ekstrimis dan mempunyai rasa prejudis lalu menyamakan PAS dengan parti Islam lain di dunia ini.

 “Ianya 100 peratus tidak benar sama sekali dengan menyamakan parti PAS dengan Taliban seumpamanya merupakan satu kesilapan,” jelasnya.

Menurut beliau, PAS juga bukanlah sebuah parti yang sempurna tetapi kami mempunyai ahli dan penyokong yang terdiri dari pelbagai latar belakang yang mendokong.

“Kami amat memahami, untuk menjadikan negara kita negara yang terbaik, kita semua perlu bekerjasama sebagai warganegara Malaysia,” ujarnya.