• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PAS Komited Pertahan MN, Perkukuh PN

KUALA TERENGGANU, 18 Ogos - Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, perkembangan politik semasa tanah air tidak menggugat kerjasama parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Setakat ini tiada apa-apa perubahan yang negatif dan saya percaya, PAS tetap komited mempertahankan Muafakat Nasional dan memperkukuhkan Perikatan Nasional.

"Kerana, itu adalah 'the end game' (penentu) bagi kesatuan seluruh masyarakat Melayu Islam yang ada dalam negara kita, barulah kita menjadi satu kelompok yang kuat dan disegani dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Menteri Besar Terengganu itu, isu yang berlaku adalah ibarat percanggahan dalam keluarga.

"Itu hanyalah pergerakan yang berlaku dalam 'keluarga' sahaja, apabila pinggan mangkuk bersentuhan, (pastilah) adalah berbunyi sedikit.

"Namun, apabila kita duduk bersama-sama, pinggan mangkuk akan duduk di tempatnya," katanya.


Tag: