• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - PAS bersedia menghadapi Pilihan Raya Kawasan (PRK) Kemaman, selepas parti itu memutuskan tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu yang membatalkan kemenangan dicapai PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15, pada November lalu.

Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengulas keputusan itu berkata, pihak partinya bersedia mengerahkan jentera untuk memenangi kembali kerusi berkenaan.

"Dari segi calon belum ada keputusan. Kita juga tidak pernah mengangggap mana-mana kerusi sebagai kerusi yang mudah dimenangi, termasuklah di Ru Rendang pun, walau telah kita menangi puluhan tahun.

"Mana-mana yang ada akan dianggap satu medan untuk kita bekerja dengan sepenuh hati (untuk memenangkan), saya percaya rakyat kita di kawasan itu juga teruja untuk memberi kemenangan kepada calon PAS yang bertanding," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, keputusan itu diambil setelah hakim Anselm Charles Fernandis mengesahkan dalam sesi Pengurusan Kes melalui sidang video bahawa keputusan Yang Arif Hakim dalam kes berkenaan sama seperti mana keputusan Petisyen Kuala Terengganu.

Pada PRU15 lalu, Calon PAS, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen terbabit dengan majoriti lebih 27 ribu mengalahkan Pengerusi UMNO Terengganu.


Tag: